Sunday 22 September 2013

KOLUMNIS BERITA HARIAN

Dasar Ekonomi Baru (DEB) melahirkan ramai usahawan Melayu dalam pelbagai bidang yang sebelumnya hanya dikuasai bukan Bumiputera, membuktikan mereka boleh berjaya dalam apa pun bidang jika diberi peluang dan sokongan.

Namun, sepanjang tempoh pelaksanaannya, DEB melahirkan ramai juga usahawan ‘ali baba’ yang menjadikan peluang itu sebagai jalan pintas mengaut keuntungan dengan ‘menjual’ projek dan kontrak kepada bukan Bumiputera.
Kesannya, usahawan Bumiputera bukan saja menjadi momokan bukan Bumiputera, malah dalam kalangan agensi dan pegawai awam yang bertanggungjawab membantu mereka. Tanggapan serong itu berterusan sehingga sekarang menyebabkan usahawan generasi baru dan tulen, sukar mendapat sokongan dan bantuan, apa lagi diberi peluang oleh bukan Bumiputera.


Oleh kerana itu, walaupun ekonomi negara terus berkembang pesat, jumlah usahawan Bumiputera yang benar-benar berjaya tidak turut meningkat. Sebaliknya, kita menyaksikan ramai usahawan Bumiputera termasuk yang tulen, gagal bertahan kerana tidak mampu bersaing dengan syarikat bukan Bumiputera terutama dari segi rangkaian bekalan.

Sering dipandang serong

Dalam kata lain, usahawan Bumiputera sentiasa dipandang serong. Walaupun ada yang berjaya dengan usaha sendiri, mereka dituduh sebagai ‘kroni’, manakala yang gagal dicemuh kerana dengan diberi bantuan pun, masih tidak mampu bersaing. Justeru, agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, adalah peluang terbaik bagi usahawan Bumiputera mengubah tanggapan itu.

Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan lima strategi utama dalam agenda itu, Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) ditubuhkan dengan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB).
Antara langkah utama dalam strategi itu ialah penetapan sasaran ke atas penyertaan Bumiputera, termasuk perolehan kepada vendor oleh semua ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Malah, maklumat mengenainya dimasukkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama atau KPI mereka.

Semua kementerian juga akan mewujudkan Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) yang bertanggungjawab merangka cadangan dan melaksana inisiatif agenda Bumiputera.

EKUINAS pula diberi tanggungjawab mengambil alih peranan sebagai peneraju program Skim Jejak Jaya Bumiputera. Program itu akan ditransformasikan melalui ekuiti dan kepakaran pengurusan bagi membimbing syarikat Bumiputera yang disenarai di Bursa Malaysia.

Kerajaan juga mengarahkan kementerian dan agensi berkaitan mengukuhkan Program Pembangunan Vendor serta memastikan jangka masa kontrak dan konsesi vendor disesuai dengan tempoh bayar balik pinjaman bank.

Pilih secara meritokrasi

Untuk memastikan hanya usahawan yang layak diberikan peluang, terutama membabitkan projek besar di bawah kementerian dan GLC, kerajaan memperluaskan dasar carve-out iaitu memilih syarikat Bumiputera secara meritokrasi.

Pendekatan ini sudah dilakukan dalam projek Aliran Transit Massa (MRT) dengan syarikat Bumiputera yang dianugerahkan 47 peratus kontrak atau RM9 bilion, dipilih secara meritokrasi.

Walau sebaik mana pun dasar bagi membantu Bumiputera diperkenalkan kerajaan, soal pelaksanaan dan sikap kumpulan sasar, menjadi faktor utama kejayaannya. Dari segi pelaksanaan, Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini mengakui dan memperbaiki kelemahan dasar serupa sebelumnya.

Kini tinggal kepada kumpulan sasar, iaitu usahawan Bumiputera sendiri untuk menyahut cabaran ini dengan memperlengkapkan diri, bukan setakat mampu bersaing sesama mereka tetapi dengan bukan Bumiputera. Ini juga adalah peluang terbaik bagi mereka memperbetulkan pandangan serong terhadap usahawan Bumiputera selama ini.

ALIBABA KALU..BILA MAU MAJU

No comments:

Post a Comment